Berita

LPM kendali Kemudahan Terminal di Logistik Serimas Krokop 3
Tarikh : 11 Jul 2018  Sumber Berita: The Borneo Post & Utusan Borneo
 

 

 (Dari lima kiri) Safri, Ling, Paulus, Serawa dan tetamu lain ketika memotong reben prapelancaran Kemudahan Terminal di Logistik Serimas.

MIRI - Lembaga Pelabuhan Miri (LPM) kini mengendalikan Kemudahan Terminal untuk operasi pesisir pantai di Logistik Serimas Sdn Bhd di Krokop 3 disini.

Majlis pra-pelancarannya disempurnakan Pengerusinya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Gumbang pada 6 Julai lalu.

Paulus berkata, terminal itu berperanan mengendalikan kakitangan (kru) luar pesisir, kapal bekalan luar pesisir dan operasi kapal-kapal lain.

"Penyediaan perkhidmatan itu selaras dengan misi kami sebagai pemangkin pembangunan ekonomi khususnya di Miri," katanya sambil menambah, terminal dikendalikan LPM dan dimiliki Logistik Serimas.

Menurutnya, terminal itu menawarkan perkhidmatan serupa seperti ditawarkan pangkalan bekalan lain di rantau ini sekali gus membantu membangunkan industri minyak dan gas di Miri seiring industri lain.

Beliau berkata LPM di Kuala Baram menawarkan perkhidmatan sokongan asas logistik sejak 2000 mengendalikan kapal kru, kapal bekalan dan berkaitan operasi luar pesisir syarikat minyak dan gas.

"Bagaimanapun, sejak 2007 pengendalian kapal kru di dermaga LPM di Kuala Baram menurun dengan ketara."

"Faktor penyumbang utama adalah strategi pengoptimunan syarikat minyak dan gas mencapai operasi kos efektif menggunakan kapal lebih besar dengan draf lebih dalam melebihi tiga meter,"jelasnya.

Paulus berkata, kemudahan LPM di Kuala Baram tidak dapat menyediakan kemudahan perkhidmatan 24 jam kerana semasa air surut, saluran akses di Kuala Baram berada pada kedalaman satu meter sahaja.

"Kerana saluran cetek, syarikat minyak dan gas memindahkan operasi kapal bekalan dan kapal kru di jeti Sungai Miri yang memiliki kedalaman lebih tiga meter,"jelasnya.

Dalam pada itu, Paulus berkata LPM beroperasi menggunakan kemudahan Serimas bermula 15 Jun 2017 dan berterima kasih kepada syarikat tersebut kerana bersetuju menjadi rakan LPM.

"LPM akan membina Kemudahan Terminal sendiri pada masa akan datang sebagai penyelesaian jangka panjang. Cadangan pembinaan adalah di Sungai Miri berdekatan Kampung Pulau Melayu,"katanya.

Dengan adanya pangkalan lebih besar serta kemudahan menyeluruh diharap membantu mengatasi masalah kesesakan di Pangkalan Serimas.

Hadir bersama Pengarah Urusan Logistik Serimas Sdn Bhd, Dato Sri Ling Tiing Lik dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Sarawak Datu Safri Zainuddin serta Pengurus Besar LPM, Serawa Budol.